Sunday 23 June 2013

Fraud...Bab 1...m/s 1...

1

Tahun ini adalah tahun ke lima Iqram bekerja di CSB Textile. Lima tahun jugalah dia menempuh pelbagai dugaan dan cabaran di sini. Begitu juga, sudah hampir lima tahun dia menganyam kasih dengan Izzah. Iqram amat bersyukur kerana Izzah menerima dia seadanya. Susuk badan Iqram yang agak besar selalu membuatkan dia merasa rendah diri apabila berhadapan dengan wanita. Namun Izzah tidak kisah, Iqram tahu Izzah juga menyintainya.
Banyak yang Iqram korbankan supaya dapat bersama dengan Izzah. Tidak sedikit perbelanjaan keluarga Izzah yang ditanggungnya, memandangkan mereka berasal dari keluarga petani di sini. Apa sahaja kesusahan yang dirungutkan oleh Izzah, akan diselesaikan oleh Iqram. Segalanya untuk Izzah.
Iqram jugalah yang menaikkan kedudukan Izzah dari seorang juruwang menjadi salah seorang kerani di bawah seliaannya. Memang ada suara-suara sinis yang didengari tetapi di biarkan sahaja. Kalau diikutkan, memanglah Izzah tidak mempunyai apa-apa kelayakan untuk jawatan itu. Namun begitu, Iqram pandai memainkan peranannya di dalam meyakinkan Mr. Arun untuk mengambil Izzah di dalam bahagian pentadbiran, dekat dengan Iqram.
Persahabatan Iqram dengan Muey dan Junaidi juga semakin erat. Biasanya mereka berempat akan keluar makan bersama-sama. Banyak perkara yang mereka lakukan bersama. Muey sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki. Malang sekali, suaminya meninggal dunia ketika tahun pertama mereka bekerja. Ajo pula masih bujang tetapi sudah mempunyai seorang kekasih, Ima namanya.
Sejak kebelakangan ini Iqram sedar ada sesuatu yang disembunyikan oleh Jamie dengan Mr. Arun. Dari cara pertuturan mereka berdua serta gerak badan, Iqram mengesyaki mereka berdua sedang bercinta. Manakan tidak, apabila berjalan asyik bersendeng, bergurau asyik bertampar dan jelingan yang melirik dapat menggambarkan perasaan mereka. Apa yang menjengkelkan Iqram adalah, kedua-dua mereka telah berkeluarga, masing-masing sudah mempunyai anak.
“Muey, kau nampak tak Jamie dengan bos, lain macamlah.” Iqram memulakan siatannya.
“Betul tu! Aku pun nampak lain!” Tiba-tiba Ajo mencelah.
“Aiya! Ajo you inikan…Iqram tak tanya you pun.”
“Hahaha…dah memang betul aku nampak…siap bagi flying kiss lagi”
“Iqram…aku tak tahulah…aku tak berani nak cakap sebab tak nampak betul-betul depan mata.” Jawab Muey berhati-hati.
“Hmm…tak apalah…kita tengok dulu.”
Malam itu setelah selesai kerja, Iqram sengaja menunggu di kawasan parkir. Dia ingin melihat dengan mata kepalanya sendiri. Ada staf jualan yang memberitahu Iqram, mereka nampak Mr. Arun berpimpinan tangan di kawasan parkir selepas waktu kerja. Seperti yang dijangka, Iqram nampak Jamie berpaut di lengan Mr. Arun semasa mereka berjalan. Gembira sekali nampaknya mereka berdua. Bagaikan dunia ini milik mereka.
Tiba-tiba kelihatan Mr Arun melepaskan tangan Jamie dan terus berjalan meninggalkannya.  Seketika kemudian sebuah kereta menghampiri mereka. Kereta suami Jamie rupanya. Jamie terus membuka pintu kereta dan berkata sesuatu kepada suaminya. Kelihatan kereta itu terus berlalu. Iqram melihat mereka berdua ketawa sambil Mt. Arun memeluk pinggang Jamie.

     “Ah! Dayus sungguh Jefri! Sanggup membiarkan isterinya dengan lelaki lain.” Kata Iqram menggerutu.