Bertaut Kembali merupakan novel kedua yang sedang ditulis. Buat permulaan, disini anda semua dapat membaca tiga bab pertama novel tersebut. Komen dan pendapat amat dihargai. Terima kasih.
BERTAUT KEMBALI
1
Ramai yang menentang, bukan sahaja kedua orang tuanya, semua ahli keluarganya malah kawan-kawannya juga. Dia tidak peduli dengan nasihat serta larangan mereka malah sanggup memutuskan hubungan dengan sesiapa yang menentang pilihannya. Cintanya kepada Anuar dirasakan teramat dalam dan terlalu kuat baginya. Anuar merupakan seorang lelaki yang sempurna di matanya walaupun dia sedar mereka tidak sekufu.
Ketakwaan serta keimanan yang ditunjukkan oleh Anuar di awal pertemuan mereka telah mencairkan hatinya. Dia terpikat dengan Anuar yang nampaknya rajin bersolat serta selalu mengingatkannya setiap kali masuk waktu. Itulah yang membuat dia merasakan Anuar merupakan pilihan yang tepat. Dia tidak pernah membayangkan hidupnya akan musnah sebegini rupa.
Hatinya hancur dengan perlakuan Anuar, yang ternyata hanya pura-pura. Bahagianya hanya tiga bulan pertama perkahwinan mereka. Sedikit demi sedikit perangai sebenar Anuar terserlah. Puncaknya ialah apabila dia berjaya menghidu ketagihan dadah oleh Anuar. Malam itu bermulalah episod duka dalam hidupnya, malam itu juga buat pertama kali dia merasa penampar sulong Anuar di mukanya.
“Abang! Apa benda ni…?” Soalnya kepada Anuar malam itu, sambil memegang beberapa bungkusan kecil berisikan serbuk putih.
“Arrgghhh!!! Jangan nak menyibuk. Tak ada kena mengena dengan Sayang!” Kata Anuar sambil merampas bungkusan tersebut.
“Dadah kan ? Abang ambil dadahkan?”
Anuar terus diam.
“Abang, cakap betul-betul! Abang ambil dadah kan ?” Dia terus menerjah Anuar.
“Ahh!!” Pang!!! Penampar Anuar hinggap ke pipinya gebunya.
Dee terduduk, terasa panas pipinya akibat tamparan itu, Dia tidak pernah menyangka Anuar sanggup menampar pipinya. Dia juga tidak pernah menyangka yang Anuar adalah seorang penagih dadah. Hancur luluh hatinya. Perkahwinan yang baru masuk bulan ketiga telah rosak akibat perbuatan Anuar.
“Sampai hati Abang! Sayang tak sangka abang seorang penagih dadah! Tak sangka” Kata Dee teresak-esak.
“Ahhh! Suka hati akulah!!!” Anuar terus keluar menginggalkan rumah.
Malam itu bermulalah kesengsaraan di dalam hidupnya. Selepas kejadian malam itu, Anuar dengan selamba sengaja mengambil dadah di hadapannya. Mahu sahaja dia lari membawa diri, namun kepada siapa? Emak dan ayahnya tidak lagi mahu mengambil tahu tentang dirinya. Emak dan ayahnya tidak menerima Anuar sebagai menantu mereka.
Walapun mereka tidak membuangnya, namun setiap kali dia pulang, terasa disisih oleh keluarganya. Emak dan ayahnya tidak pernah bertanya khabar tentang dirinya ataupun Anuar. Ayahnya tidak mahu langsung berbual dengan Anuar. Tidak seperti, adiknya Ezah, suami adiknya itu ditatang oleh kedua emak dan ayahnya kerana Badrul merupakan menantu pilihan mereka.
Ah! Badrul, lelaki itu sebenarnya pernah menaruh hati padanya. Namun, di saat dia ingin menerima Badrul, tiba-tiba dia mendapati dirinya jatuh cinta dengan Anuar. Dia tahu Badrul seorang lelaki yang baik. Entah mengapa pengenalannya dengan Badrul yang dirancang oleh sepupu Badrul, tidak menjadi. Dia telah mengecewakan emak dan ayahnya yang ingin bermenantukan Badrul. Di saat akhir majlis pertunangan akan dilangsungkan, Dee menarik diri, dan untuk menutup malu, Ezah menjadi penggantinya.
Dia telah cuba bertahan dan mempertahankan perkahwinannya, dengan harapan Anuar akan berubah suatu hari nanti. Begitu dalam cintanya kepada Anuar, sehingga sanggup menanti selama lima tahun. Entah berapa ratus kali Anuar telah berjanji untuk berubah, namun penantiannya sia-sia sahaja. Selama itu jugalah dia bagai menjadi hamba kepada Anuar. Duit gajinya menjadi mangsa ketagihan Anuar setiap bulan. Segala perbelanjaan terpaksa ditanggungnya kerana Anuar telah beberapa kali dibuang kerja di dalam masa lima tahun itu.
Hari ini, dia sudah tidak sabar lagi, dia sudah tidak mahu menunggu lagi. Segalanya telah hancur musnah semalam. Hatinya bagai disiat-siat dengan perlakuan Anuar. Semalaman dia menangis kerana diperlakukan sebegitu rupa. Sanggup Anuar membawa wanita lain ke rumah mereka dan mengambil dadah serta paling menyakitkan, Anuar menyetubuhi wanita tersebut di dalam bilik tidur mereka.
“Abang, siapa perempuan ni?” Dee bertanya sebaik sahaja Anuar masuk ke dalam rumah dengan seorang wanita muda.
“Hahaha…..ini girlfriend aku. Malam ni dia nak layan aku. Kau boleh berambus!!!” Anuar menjawab. Ternyata dia sedang khayal dengan dadah.
“Abang!!!. Kenapa Abang buat begini. Sedarlah Abang, Berdosa tau!!!” Dee membantah.
Pang!!! Penampar Anuar melekat di pipi Dee. Terasa panas pipinya. Dia terus masuk ke dalam bilik dan menangis. Tetapi Anuar mengikutnya dari belakang sambil dan sempat menarik rambutnya.
“Hei perempuan! Malam ni aku nak tidur di sini dengan girlfriend aku….Kau boleh berambus!!! Tak faham ke?” Kata Anuar yang masih memegang rambut Dee.
“Abang! Tolonglah sakit ni….baik….baik….saya keluar dari bilik ni sekarang!”
“Berambus! Keluar terus dari rumah ni, lagi senang hati aku!!! Hahahaha….!!!”
Anuar ketawa berdekah-dekah.
Dee tidak terus keluar malam itu. Dia perlu mendapatkan gambar perlakuan Anuar dengan teman wanitanya agar dapat dijadikan bukti nanti. Dia tidak mahu disalahkan nanti. Dia tidak mahu dituduh nusyuz di mahlamah syariah nanti. Dee membawa dirinya ke bilik sebelah tanpa dipedulikan oleh Anuar. Dia menangis semahunya bila mendengar suara rengekan dan tawa kecil Anuar dengan teman wanitanya.
Hari dia akan mengambil tindakan nekad, dia akan melarikan dirinya dari neraka hidup ini. Namun dia tidak punya arah tujuan kemana. Untuk kembali kepada keluarganya, terasa malu yang amat sangat. Sememangnya itulah yang dinantikan oleh keluarganya, kehancuran rumahtangganya. Dee tahu emak dan ayahnya akan tetap menerimanya malah mungkin akan merasa lega dengan keputusannya. Namun buat masa sekarang, dia belum mahu kembali kepada mereka, bukan masanya lagi.
Dee terus memandu keretanya ke tempat kerja seperti biasa. Ketika dia keluar dari rumah tadi, Anuar masih tidur dengan teman wanitanya. Hancur luluh hatinya mengenangkan perbuatan Anuar. Dia tidak sanggup lagi untuk menempuhi hidupnya bersama lelaki itu. Dee membawa bersama serba sedikit pakaiannya dan nekad tidak akan kembali ke rumah itu lagi. Dee juga telah mengambil gambar Anuar bersama teman wanitanya yang masih tidur di atas katil. Ia mungkin boleh dijadikan bahan bukti sekiranya dia mengambil keputusan untuk membuat laporan di pejabat agama nanti.
Namun dia belum dapat membuat keputusan untuk melarikan diri ke mana. Kepada siapa harus dia minta pertolongan. Buntu. Dee sampai ke pejabat seperti biasa namun sesiapa sahaja yang melihatnya dapat meneka dia dalam kesengsaraan. Matanya yang bengkak akibat menangis semalaman, tidak dapat disembunyikan apabila dia membuka kaca mata hitamnya.
“Ya Allah! Dee what happened?” tanya Liza, kawan sepejabatnya.
Dee hanya diam. Airmatanya mengalir tanpa dipinta. Liza mendekatinya sambil memegang bahu Dee.
“Anuar buat hal lagi ke?”
“I dah fed up! I nak lari! Tolong I Liza. I dah tak tahan dengan dia!” Dee menjawab terputus-putus menahan sebak.
“Apa pula kali ni, Dee? Dia ambil dadah lagi atau dia ambil duit kau?”
“Dia bawa perempuan ke rumah dan tidur dengan perempuan tu, di depan mata aku!!!” Dee menjawab tanpa reda esakannya.
“Ya Allah! Apa nak jadi dengan jantan tu!!!” Kata Liza hampir menjerit. Geram dia memikirkan kelakuan Anuar. Selama ini Liza sememangnya tahu masalah Dee dengan Anuar. Lelaki itu sudah melampau!
“So sekarang apa kau nak buat?” Liza bertanya.
“Aku dah nekad. Aku nak lari dari rumah, tapi aku tidak tahu nak kemana. Tolong aku Liza.” Ujar Dee.
“Hmmm….nanti aku fikirkan jalan. Kau ada sesiapa yang boleh bantu kau? Aku rasa lebih baik kau ambil cuti dua tiga minggu. Pergilah jauh dari sini, tapi sebelum tu aku rasa lebih baik buat laporan ke pejabat agama.” Liza memberikan cadangan.
Dee hanya mengangguk kepalanya tanda bersetuju dengan cadangan Liza. Dee mengisi borang cuti dan terus berjumpa dengan Pengurusnya. Tanpa banyak soal, Puan Rafida, Pengurusnya terus meluluskan permohonan cutinya kerana dia juga seperti Liza tahu mengenai masalah rumahtangga Dee.
Selepas mendapat kelulusan untuk bercuti, dia terus ke klinik untuk mendapatkan rawatan serta membuat laporan polis dan kemudiannya memfailkan kesnya di pejabat agama Pulau Pinang. Setelah semuanya selesai, barulah dia sedar yang dia masih tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri atau setidak-tidaknya untuk tidur malam itu. Paling penting dia tidak mahu berada di pulau itu lagi. Dia mahu membawa dirinya jauh. Jauh dari Anuar, lelaki yang telah menjahanamkan hidupnya.
Dee terus memandu keluar dari Pulau Pinang, entah kemana arah tujuannya. Utara atau selatan? Tiba-tiba dia teringatkan Razlan, sepupu Badrul yang pernah menjadi sebahagian dari hidupnya. Mahukah Razlan membantunya? Apakah Razlan berdendam dengannya?
No comments:
Post a Comment